AYER KEROH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menguatkuasakan
peraturan baharu berkaitan penggunaan cermin gelap bermula 1 November
ini.
Peraturan baharu ini menyaksikan ketelusan cahaya yang dibenarkan
untuk sisi penumpang belakang dan bahagian belakang diturunkan daripada
50 peratus kepada 30 peratus.
Bagaimanapun, ketelusan cahaya yang dibenarkan bagi cermin hadapan
dan sisi pemandu pula masing-masing kekal pada kadar 70 peratus dan 50
peratus.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, pemindaan peraturan itu adalah mengikut standard antarabangsa.
Katanya, peraturan baharu itu tertakluk kepada semua rakyat Malaysia
dengan pengecualian diberikan kepada beberapa pihak atau disebabkan atas
alasan kukuh.
"Pengecualian diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri
dan Timbalannya, Ketua Menteri, Menteri Besar, Ketua Hakim dan Menteri.
"Begitu juga dengan jabatan berisiko tinggi seperti Polis Diraja
Malaysia dan Kastam Diraja Malaysia yang melakukan operasi berbahaya,"
katanya selepas mengadakan pertemuan dengan anggota penguat kuasa JPJ
bahagian zon selatan di Seri Negeri, di sini, sebentar tadi.
Ismail berkata, pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan
baharu itu boleh dikompaun RM300 dan sekiranya kes tersebut dibawa ke
mahkamah mereka boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara dua minggu
atau kedua-duanya di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan
mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991.